Siaran Akhbar dan Foto : Jawatankuasa Bola Sepak Piala Keputeraan 2025
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Ogos. - Pasukan Bola Sepak Jabatan Perdana Menteri (PMO) berjaya mengejutkan pasukan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kemenangan tipis 2 - 1 pada persaingan Kumpulan B, Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2025 di Padang dan Belapan, Berakas.
Perlawanan menarik itu telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Kedua-dua pasukan saling mempamerkan aksi yang seimbang bagaimanapun gagal memanfaatkan peluang untuk membolosi gawang lawan di babak pertama.
Pasukan PMO akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-46 menerusi Muhamad Nur Yamin Haji Muhammad namun kegembiraan penyokong pasukan PMO tidak bertahan lama apabila pasukan MINDEF berjaya menyamakan kedudukan 1 - 1 menerusi SJN Muhammad Yusri Haji Suhaili pada minit ke-52.
Hadiah sepakan penalti kepada pasukan PMO berjaya disudahkan oleh Adul Afiq bin Roslan di minit ke-79 dan kedudukan 2 - 1 kekal sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MoHA) menang besar ke atas pasukan Kementerian Pendidikan (MoE) dengan jaringan 8 - 0 di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong.
Kemenangan bergaya pasukan MoHA disumbangkan menerusi jaringan hatrik oleh Md. Hafiz Haji Mahari pada minit ke-11', 32' dan minit ke-50' sementara sentuhan jaringan Ampuan Azami Ampuan Husin di minit ke-26 dan Md. Asnawi Syazmi Abdul Aziz pada minit ke-42 melagakan pasukan pilihan dalam Kumpulan B itu.
Manakala kejayaan pasukan MoHA dilengkapkan dengan jaringan Md. Faiz Farhan pada minit ke-75, Md. Aqmal Hakeem (75') dan Mazri Madlin pada minit ke-89.